Monday, October 27, 2025

Rakyat Bandau Tolak Dominasi Politik Malaya – Tuntut Autonomi Sabah Melalui MA63


Bandau, 27 Oktober 2025: Kesedaran politik rakyat Sabah semakin meningkat apabila ratusan penduduk dari kawasan Tandek dan Bandau membanjiri Program “Kem Sunrise”, anjuran bersama Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) di bawah payung Gabungan Bersatu Sabah (GBS), yang berlangsung di Kampung Kampar, Kota Marudu semalam.

Program yang penuh semangat perjuangan itu dirasmikan oleh YBhg. Datuk Anita Baranting, Ahli Majlis Tertinggi Parti STAR Sabah, dan turut dihadiri oleh pemimpin tempatan serta wakil pelbagai lapisan masyarakat yang komited terhadap perjuangan menegakkan hak Sabah berdasarkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Datuk Anita dalam ucapannya menegaskan bahawa perjuangan menuntut autonomi Sabah bukan lagi slogan, tetapi amanah dan tanggungjawab generasi hari ini. Beliau menyeru agar rakyat Sabah terus bersatu mempertahankan hak negeri daripada terus dipinggirkan oleh dasar dan dominasi politik Malaya.

“Selagi semangat MA63 hidup, selagi itu rakyat Sabah akan terus bangkit. Inilah perjuangan sebenar Parti STAR di bawah pimpinan YB Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan — perjuangan untuk mengembalikan maruah dan kuasa negeri,” tegas Datuk Anita.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pemangku Ketua Bahagian Parti STAR Sabah N.6 Bandau, Shirewin D. Patrick, yang tampil memberikan ucapan penuh semangat dan lantang menyuarakan suara rakyat Bandau yang menuntut perubahan sebenar melalui autonomi negeri.

“Perhimpunan seperti ini menunjukkan rakyat semakin memahami nilai perjuangan sebenar – bukan sekadar menukar kerajaan, tetapi menuntut hak dan kuasa yang telah lama dinafikan,” kata Shirewin D. Patrick ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Menurut Shirewin, perjuangan yang digerakkan oleh Parti STAR Sabah di bawah kepimpinan Dr. Jeffrey G. Kitingan bertujuan mengembalikan kuasa autonomi Sabah sebagaimana dijanjikan semasa pembentukan Malaysia, khususnya dalam bidang ekonomi, hasil bumi dan pentadbiran negeri.

“Kami tidak anti-Malaysia, tetapi kami mahu Malaysia yang adil. Sabah berhak mentadbir dirinya sendiri dalam kerangka Persekutuan, sebagaimana dijanjikan dalam MA63,” tegasnya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa rakyat perlu menolak politik wang dan pengaruh luar yang mengaburi perjuangan sebenar rakyat Sabah.

“Rakyat kini semakin matang. Mereka tahu bahawa masa depan Sabah tidak boleh digadaikan hanya kerana janji sementara atau habuan politik. Sabah mesti dipimpin oleh rakyatnya sendiri, dengan prinsip keadilan dan maruah,” ujar beliau disambut tepukan gemuruh para hadirin.

Shirewin juga memberi amaran bahawa sekiranya gabungan PH + BN kembali membentuk kerajaan, ia bakal membuka ruang kepada dominasi politik Malaya yang akan terus mengekang usaha menegakkan autonomi negeri.

Dalam pada itu, beliau memuji langkah Dr. Brister Mokujal AMT (SAPP) yang menganjurkan Kem Sunrise sebagai platform kesedaran politik tempatan yang berjaya menyatukan rakyat dari pelbagai latar belakang.

“Perjuangan mengembalikan hak Sabah bukan milik satu parti semata-mata, tetapi perjuangan bersama rakyat seluruh negeri. Selagi semangat MA63 hidup, selagi itu rakyat Sabah akan terus bangkit menuntut hak mereka,” katanya.

Sebagai penutup, Shirewin D. Patrick menyeru semua rakyat Sabah agar bersatu memperkukuh perjuangan autonomi negeri dan menolak campur tangan politik luar.

“Tolak parti yang dikawal dari luar Sabah. Pertahankan hak autonomi negeri melalui MA63. Sabah untuk Sabahan – ini bukan slogan, ini tanggungjawab generasi kita,” tegas beliau mengakhiri kenyataannya.

Program Kem Sunrise tersebut turut disertai oleh pemimpin masyarakat, wakil belia, Wiramuda dan Wiranita STAR serta penyokong akar umbi dari seluruh daerah Kota Marudu, sebagai simbol kebangkitan semangat perjuangan rakyat Sabah menuntut hak dan maruah negeri tercinta.

Artikel Pilihan

Understanding the Difference Between a Deputy Minister and an Assistant Minister in Sabah

Wednesday, 3 December 2025 Many people remain unclear about the distinction between a Deputy Minister and an Assistant Minister , often ass...