Sabtu, 15 November 2025
Apa yang sedang berlaku di kawasan pedalaman sepanjang tempoh penamaan calon ini bukanlah sesuatu yang biasa — ini adalah satu serangan politik terancang, satu tipu daya (subterfuge) tersusun oleh Neokolonis moden kita. Cap jari mereka jelas kelihatan di seluruh peta pilihan raya.
Di N44 Tulid, PBRS — komponen BN dan pesaing tradisi STAR — tiba-tiba menarik diri daripada meletakkan calon. Mereka memberi laluan kepada calon PH, Rufinah Pengeran. Calon PBRS yang sepatutnya bertanding, Edwin Laimin, kini pula bertanding sebagai Bebas. Sementara itu di N45 Sook, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup daripada PBRS berdepan secara terus dengan penyandang kerusi, Datuk Ellron Angin daripada GRS — TIADA calon PH di Sook. Kebetulan? Di mana satu bertanding, yang satu bagi laluan. Kebetulan?
PH dan BN sedang bekerjasama di Sabah.
GRS pernah mengumumkan secara terbuka bahawa mereka menolak kerjasama dengan BN. Namun hari ini, mereka sebenarnya bekerjasama dengan BN secara tidak langsung melalui PH. Ini adalah bentuk political cuckoldry (pasangannya bermain kayu tiga di depannya) di peringkat negeri. GRS sedang dipermainkan. Dan paling teruk — mereka sedar ia sedang berlaku tetapi tidak boleh berbuat apa-apa.
Dan untuk melaksanakan operasi ini, beberapa individu telah dihumban ke dalam permainan ini — sama ada secara sukarela atau tidak.
Datuk Flovia Ng: Ditundukkan Menjadi Hamba Kuasa Malaya
Datuk Flovia Ng kini jatuh ke tahap menjadi minion kepada Malaya. Dahulu dilihat sebagai Yang Berhormat tidak berprestasi tapi kini semakin teruk, beliau sekarang tidak lebih daripada pembawa suara — mengulang apa sahaja naratif yang diarahkan oleh pengendali politik dari pusat. Keutamaan beliau hari ini bukan lagi rakyat; tetapi melindungi kekayaan yang dikumpulkannya selama berada dalam kuasa.
Itulah sebabnya beliau begitu terdesak kebelakangan ini merekrut lebih ramai ahli GRS dalam kalangan rakyat yang tidak menyedari permainan ini. Difahamkan rakyat yang sanggup hadir ceramah kosongnya hadir kerana terpaksa. Betul atau tidak, ada maklumat yang disalurkan mengatakan bahawa beliau menawarkan RM300/- bagi setiap peserta ceramahnya tapi ramai merungut bahawa mereka cuma menerima RM50/-.
Ucapan ala “Gardenia” yang dipenuhi sampah, tanpa isi, dan menghina kecerdikan rakyat Tulid. Beliau bekerja demi kesinambungan keselesaannya — bukan demi masa depan pedalaman.
Beliau dijadikan korban GRS untuk penawanan Tulid oleh parti seberang. Beliau tidak dicalonkan.
Datuk Ellron Angin: Dikepung Skandal Lombong
Datuk Ellron Angin pula nampaknya terbelit dalam skandal perlombongan. Dakwaan bahawa beliau menerima wang daripada Albert Tei untuk membeli hartanah bukan isu kecil. Pemimpin dalam keadaan begini menjadi mudah ditundukkan. Dia tidak boleh lagi bercakap bebas. Dia tidak boleh bertindak sendiri. Dia menjadi aset kepada mereka yang mahu Sabah patuh dan diam.
Pemimpin yang terkompromi adalah pemimpin yang boleh DIKAWAL — dan itu sangat menguntungkan Malaya. Dia terjerat dari kerakusan sendiri. Pemimpin seperti ini mudah diperangkap. Satu lagi aset dalam kandang mereka.
Jordan Ellron: Pewaris Empayar Keluarga
Walaupun dia cuba menjauhkan diri daripada bapanya secara umum, realitinya dia tetap diikat oleh darah, keistimewaan, dan kepentingan. Kemakmurannya bergantung kepada kekayaan keluarga. Dia sudah terbiasa dengan kehidupan mewah, keselesaan, dan pengaruh. Tidak ada dunia di mana dia akan membiarkan kekayaan keluarganya menghilang. Dia bukan neutral. Dia bukan bebas. Dia adalah lanjutan kepada mekanisme yang sama — sama ada dia mengaku atau tidak.
Dikalangan pengikutnya, dia senang dipanggil Tuan Muda seperti era lama dan selagi Tuan Muda Jordan boleh bagi keistimewaan kepada mereka, mereka akan terus mengurut(massage) egonya. Tetapi kita akur juga kehebatan pemuda ini, belum jadi Yang Berhormat sudah ada kumpulan kroni. Kita cuma boleh bayangkan kehebatannya kelak. Sook dan Tulid mungkin akan menjadi jajahan keluarga mereka. Boleh hidup mewah dengan peruntukan ADUN dari Kerajaan sekiranya cita-citanya tercapai.
Dato Victor Paut: Utusan yang dihantar untuk Menundukkan Belia Tambunan
Beliau dihantar sebagai emissary, sebagai duta politik pusat, untuk memujuk, menidurkan, dan melunturkan semangat rakyat Tambunan — khususnya golongan belia.
Ini adalah propaganda paling berbahaya — menyuruh rakyat Sabah melutut kepada penindas demi janji-janji manis:
-
janji projek,
-
janji kekayaan,
-
janji kedudukan,
-
janji peluang yang hanya muncul jika Sabah memilih untuk tidak melawan.
Dato Victor Paut datang bukan untuk memperjuangkan rakyat, tetapi untuk memastikan golongan muda Tambunan menerima naratif bahawa masa depan Sabah terletak di bawah telunjuk Malaya. Ini cubaan sistematik untuk memadam keberanian, memusnahkan daya juang, dan menanam budaya tunduk dalam jiwa generasi akan datang.
Mengapa Sabah Mesti Menyokong Parti Lokal — Sekarang, Lebih Daripada Sebelum Ini
Slogan Rumah Kita, Kita Jaga sudah tidak bermakna. Ia sudah menjadi kuda trojan untuk kuasa luar menyelinap ke rumah kita.
Jika kita terus membiarkan parti yang dikawal Malaya — atau parti Sabah yang tunduk kepada mereka — menguasai politik kita, akibatnya jelas:
-
Hak 40% hasil negeri akan ditangguhkan tanpa batas waktu.
-
MA63 akan kekal sebagai alat tawar-menawar politik.
-
Pemimpin akan dilantik dari luar, bukan dipilih oleh rakyat.
-
Suara pedalaman akan dibisukan dan terus terpinggir dalam arus pembangunan.
-
Sabah akan terus berlutut kepada kerajaan yang melihat kita sebagai sumber, bukan rakan kongsi.



