Rabu, 26 November 2025
Baru-baru ini, ADUN PAS Kedah Mansor Zakaria berkata, “Bagi sahaja roti Gardenia,” seolah-olah rakyat Sabah boleh ditenangkan atau dibeli dengan roti murah. Kenyataan ini benar-benar mencerminkan keangkuhan politikus luar — sama seperti elit Perancis yang suatu ketika dahulu mempersendakan rakyat sendiri.
Bagi mereka yang membaca sejarah dunia dan mengkaji naik turunnya kuasa, pasti teringat akan kata-kata terkenal yang dikaitkan dengan Marie Antoinette: “Let them eat cake!” (Biar mereka makan kek!)
Walaupun sejarah kemudian membersihkan namanya daripada frasa itu, ia tetap menjadi simbol keangkuhan — dan ia menyumbang kepada kejatuhan monarki Perancis.
Ayat "Let them eat cake!" menjadi simbol keangkuhan golongan elit Perancis yang langsung terputus daripada realiti rakyat.
Hari ini, rakyat Sabah telah menjadikan “Gardenia” sebagai simbol untuk bangkit. Biarlah hari pengundian nanti menjadi referendum bahawa Sabah sudah muak dengan puluhan tahun penindasan ekonomi.
Sabah menolak parti-parti Malaya dan mana-mana parti tempatan yang bersekongkol dengan pengaruh luar untuk mengekalkan keadaan ini.
Tunjukkan melalui peti undi bahawa kita tidak akan menerima “Gardenia” lagi.
Isu Gardenia menyerlahkan sikap segelintir ahli politik Semenanjung terhadap Sabah — penuh angkuh, buta realiti, dan memandang rendah maruah rakyat negeri ini. Mereka menyangka orang Sabah boleh dibeli dengan roti Gardenia, seakan-akan masa depan negeri ini, maruah kita, dan hak MA63 boleh disamakan dengan sebungkus roti Gardenia.
Ini bukan sekadar kejahilan. Ini adalah keangkuhan yang melampau.
Seperti bangsawan Perancis dahulu yang hidup dalam kemewahan sementara rakyat menderita, ahli-ahli politik ini duduk selesa di pusat kuasa tanpa memahami realiti Sabah:
-
Kampung masih tiada jalan sempurna
-
Komuniti masih bergelut mendapatkan air bersih
-
Anak muda terpaksa merantau mencari rezeki
-
Hak MA63 disusut dan dipermainkan
-
Hasil Sabah disedut, pembangunan ditangguhkan
Namun mereka fikir penyelesaiannya ialah roti Gardenia. Beginilah rendahnya pandangan mereka terhadap kita.
Sama seperti Marie Antoinette yang kononnya berkata, “biar mereka makan kek,” elit politik hari ini menyangka rakyat Sabah boleh didiamkan dengan, “biar mereka makan roti Gardenia.” Ini merupakan satu penghinaan kepada maruah Sabah.
Bung Moktar sudah menyifatkannya sebagai “tidak boleh dimaafkan.” Namun rakyat Sabah tidak boleh berhenti pada rasa tersinggung — kita mesti bertindak.
Sabah telah lama dilayan seperti tanah jajahan: dieksploitasi, dipinggirkan, dan hanya diingat apabila menjelang pilihan raya.
MA63? Mereka suruh diam. Mereka kata jangan provok, jangan politikkan isu bila kita menuntut hak kita.
40% hasil? Mereka lengahkan.
Autonomi? Mereka perlekehkan.
Tetapi beri roti? Itu cepat dilakukan.
Inilah mentaliti mereka — Sabah bukan dianggap rakan persekutuan, tetapi wilayah untuk dikawal.
Bukan rakan setara, tetapi subjek.
Kini topeng itu sudah jatuh.
Pada hari pengundian nanti, biarlah Sabah bangkit dan berkata:
Kami tidak akan diperbodohkan lagi.
Kami tidak akan menerima Gardenia lagi.
Maruah Sabah jauh lebih mahal daripada roti.