Surat ini telah diterbitkan dalam beberapa akhbar tempatan pada 4 Mac 1991 sebagai respons Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan terhadap serangan-serangan peribadi oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui ucapan beliau setiap kali melakukan lawatan ke Sabah.
Surat ini dipaparkan semula untuk pengetahuan generasi muda — agar mereka memahami perjuangan tulen dan konsisten Dr. Jeffrey G. Kitingan yang tidak pernah berubah selama lebih 33 tahun.
Perjuangan ini belum selesai — dan mesti diteruskan.
_________________________________________________________________________________
Tarikh: 4Mac 1991
Teman-teman dan rakyat Sabah yang dikasihi.
Kamu mungkin telah mendengar ataupun membaca ucapan Mahathir yang tidak ditapis di dalam suratkhabar pada 21 Februari 1991. Saya baru saja mengetahuinya.
Kenyataan Mahathir bahawa Sabah adalah tanah jajahannya bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Dia sendiri telah membawa UMNO ke Sabah untuk memastikan penguasaan sepenuhnya keatas rakyat Sabah.
Dia tidak mahu menghormati pemimpin yang kita pilih. Dia hendak melantik pemimpinnya sendiri dan menentukan sendiri haluan untuk mereka. Dia berpendapat bahawa Sabah adalah naungannya dan dia boleh berbuat apa saja yang dia suka.
Dia juga berfikir yang tiada siapa yang dapat menghalangnya mahupun pemimpin dari Kuala Lumpur – malah mereka juga mengancam dengan menggunakan tentera, polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR).Tujuan sebenar Kuala Lumpur akhirnya diketahui.
Mahathir bertujuan menghapuskan 20-PERKARA yang menjadi asas utama persetujuan Sabah untuk menjadi salah satu ahli Persekutuan Malaysia. Rancangan tersebut adalah sengaja dibuat untuk mengurangkan status rakan kongsi (partner) menjadi tanah jajahan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) sahaja.
Kenyataan bekas Presiden Sukarno dari Indonesia adalah tepat apabila beliau memberi amaran semasa pembentukan Malaysia, bahawa status Sabah sebagai tanah jajahan tidak akan berubah melalui penubuhan Malaysia.
Beliau mengatakan bahawa apa yang berubah hanyalah pertukaran pejabat penjajah dari London ke Kuala Lumpur.
Kejadian-kejadian dan tindakan-tindakan Kuala Lumpur sejak 1963 telah membuktikan bahawa pendapat itu adalah benar. Rakyat Sabah telah diajak secara tergesa-gesa dan pemimpin-pemimpin kita telah ditipu membentuk Persekutuan Malaysia.
Bacalah semua buku dan fakta tentang pembentukan Malaysia dan peristiwa-peristiwa yang terjadi selepasnya dan anda akan dapat memahaminya….
Pemimpin-pemimpin kita walaupun berat hati tapi akhirnya bersetuju menjadi sebahagian daripada ahli Persekutuan yang baru, dengan jaminan beberapa syarat haruslah dipersetujui.
Selepas beberapa siri rundingan, pemimpin-pemimpin Sabah termasuk Tun Mustapha, Donald Stephen (Tun Fuad Stephen), Khoo Siak Siew, pemimpin-pemimpin dari Persekutuan Tanah Melayu dan wakil British telah bersetuju tentang apa yang dipanggil sebagai Syarat-Syarat 20 PERKARA.
Syarat-syarat ini adalah SANGAT-SANGAT PENTING kerana ianya bermakna bahawa Sabah sebenarnya bersetuju bergabung membentuk Malaysia dengan syarat-syarat yang digariskan dalam 20-PERKARA. Ini adalah tujuannya dan dipersetujui oleh kesemua pihak yang terlibat pada waktu itu. Kita semua menyokong ini.
Walau bagaimanapun segala-galanya telah berubah. Sebaik sahaja kita menumpukan perhatian ke dalam bidang politik, sosial dan pembangunan ekonomi, kebanyakan daripada bekas pemimpin kita semakin mementingkan status dan kepentingan mereka sendiri dan tidak lagi mengambil berat tentang apa yang berlaku ke atas negeri secara keseluruhan.
Apabila para pemimpin ini mabuk kuasa, kekayaan dan pembangunan, para pemimpin Kuala Lumpur telah mengambil peluang ini untuk mengubah status Sabah daripada sebuah negara merdeka yang bersekutu dengan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) dan Sarawak (serta Singapura) kepada apa yang kita sedang alami sekarang – kembali kepada jajahan.
Lebih buruk lagi, dalam proses ini pula, pemimpin-pemimpin Kuala Lumpur juga telah menyebabkan rakyat Sabah menyerahkan hak minyak mereka, tanah dan hutan – kesemua ini dibuat secara halus dan teratur supaya rakyat Sabah tidak menyedari bahawa perkara itu telah berlaku. Saya adalah salah seorang yang menyedari apa yang sedang berlaku dan sedar kemana kita akan dibawa. Tanpa mengambil kira apakah yang akan terjadi kepada saya dan keluarga saya.
Dan sebagai seorang yang bernasib baik, berada dalam kedudukan, berpendidikan dan berstatus, saya telah merasakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia dan rakyat Sabah tulin membetulkan semua ini, dengan membangkitkan isu 20 PERKARA dan membongkar sikap Kuala Lumpur yang tidak adil kepada Sabah, terutamanya sejak 1985.
Saya percaya perkara-perkara yang lain anda semua sudah tahu. Sekarang anda semua faham, mengapa Kerajaan Persekutuan tidak pernah berhenti untuk mengganggu saya dan pemimpin-pemimpin PBS. Sekarang anda semua tahu apa sebenarnya yang BPR hendakkan dari saya.
Kuala Lumpur tahu, Mahathir pun tahu bahawa saya adalah BENAR. Mereka lebih suka menghapuskan pemimpin-pemimpin dan cerdik pandai seperti saya kerana mempersoalkan tindakan-tindakan mereka daripada mengakui kebenaran tentang apa yang mereka telah lakukan.
Mereka, Mahathir dan sesetengah daripada mereka (bukan semua pemimpin Kuala Lumpur seperti mereka) memang boleh menghapuskan saya dan sesiapa juga yang sependapat dengan saya, kerana mereka mempunyai semua peralatan kuasa yang menyebelahi mereka – polis, tentera, BPR, JHDN, OSA dan lain-lain lagi. Beritahu saya, adakah salah bagi saya berjuang untuk negeri dan rakyat?
Adakah saya salah mempersoalkan Kuala Lumpur? Patut atau tidakkah saya meminta bahagian daripada royalti minyak yang lebih munasabah bagi negeri ini? Adakah salah bagi saya berjuang untuk membebaskan Sabah daripada penjajahan? Adakah salah bagi saya mendidik masyarakat Sabah tentang fakta-fakta yang benar tentang Negara kita dan keadaan kehidupan kita?
Adakah salah bagi saya memperkenalkan idea-idea yang baru dan bercorak revolusi dalam pembangunan, mengurangkan kemiskinan dan pengangguran dan mengembalikan nilai-nilai dan harga diri kepada rakyat?
Jilakau saya salah, maka kita semua salah kerana berada di dalam kebenaran. Adalah lebih mudah bagi saya untuk tidak terlibat di dalam soal- soal rakyat, negeri dan negara. Mungkin ada orang yang bertanya mengapa harus saya mengambil berat tentang semua ini? Benar, jika saya hanya mengambil berat tentang diri saya dan kepentingan keluarga saya sahaja dan jika saya kedekut – adalah lebih baik saya tidak melibatkan diri.
Saya boleh mengekalkan kedudukan saya, bersenang-lenang dengan gaji besar dan ketawa tentang apa yang berlaku. Jika saya mengambil hati para pemimpin Persekutuan dan memberi rasuah kepada pegawai-pegawai penguatkuasa dan sebagainya, saya akan dilindungi dan tidak ada apa-apa yang akan berlaku kepada saya.
Adakah ini yang kamu ingin lihat dari saya? Saya fikir tidak. Salah seorang mesti berkorban. Namun, pengorbanan ini akan menjadi sia-sia dan tidak bererti tanpa sokongan dan dorongan anda semua. Anda semua adalah satu-satunya kuasa yang boleh menghentikan Mahathir dan membebaskan kita sekali lagi dari belenggu penjajahan.
Sekiranya kebangkitan 20-PERKARA dan mempersoalkan sikap Kuala Lumpur dan tindakan Kuala Lumpur ke atas Sabah diinterpretasikan oleh Mahatahir sebagai hasutan kepada rakyat Sabah untuk membenci rakyat di Semananjung Malaysia, maka Mahathir semestinya sama ada bodoh atau penipu.
Saya mempunyai ramai teman-teman di Semenanjung Malaysia dan telah mengenali saya dan kenal siapakah saya ini. Terdapat juga saudara-mara saya yang berkahwin dengan orang Semenanjung. Saya menyemai rasa muhibah dan bukan kebencian.
Mahathir sendirilah yang memperkenalkan dan mengundang kebencian. Dia telah mencaci pemimpin- pemimpin Sabah yang dipilih dan dengan sengaja membohongi dan menipu rakyat Malaysia terutama dan dari segi isu-isu agama dan bangsa.
Ingatkah anda dengan kes 'sigar' (tanjak) yang melibatkan Tengku Razaleigh? Sewaktu saya berjumpa dengan Dr Mahathir pada Mei 1990, saya berbincang dengan beliau tentang beberapa isu. Saya memberitahu beliau bahawa saya bukan bertujuan untuk membincangkan masalah peribadi tetapi isu-isu yang berkaitan dengan hubungan Persekutuan negeri. Salah satu daripada nasihat yang beliau berikan kepada saya tentang 20 PERKARA adalah seperti berikut;
“Jeffrey, orang-orang kampung tidak tahu tentang hak-hak negeri Sabah dan 20- PERKARA, kenapa kita harus memberitahu mereka? Laporan dari Special Branch (Polis SB) mengatakan bahawa kamu dan IDS bertanggungjawab memberitahu rakyat…..”
Buat seketika saya tidak dapat mempercayai kata-katanya sebab dia adalah Perdana Menteri Negara yang memberitahu saya untuk menipu rakyat yang mana sepatutnya menjadi tugas kita untuk mendidik mereka. Apabila saya bertanya kepada Mahathir untuk menambah royalty negeri ini daripada hasil minyak Sabah, dia berkata: “Kamu bernasib baik Kerajaan Persekutuan memberi kamu lima peratus. Ingat bahawa tidak ada minyak di Sabah sehinggalah Malaysia wujud..”
Apa yang diperkatakan oleh Mahathir ialah negeri ini tidak mempunyai hak kepada minyak dan hasil buminya dan bukan Tuhan yang memberikan kita minyak tetapi Malaysia yang memberikannya.
Tentang hal-hal tanah, Dr Mahathir berkata adalah amat susah untuk pihak negeri melepaskan dan meluluskan tanah apabila Agensi Persekutuan memerlukannya. Dia berkata tanah seharusnya dikawal oleh Persekutuan.
Ini memperlihatkan objektif jangka panjang Mahathir – untuk mengawal tanah dan hutan dimana ia masih dibawah kuasa kerajaan negeri sepertimana yang termaktub di bawah 20-PERKARA. Objektif lain Mahathir ialah untuk menjadikan Sabah sebagai tanah jajahan atau sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu.
Dia berkata: “…..hak-hak negeri adalah sementara. Sabah adalah sepatutnya sama seperti Kedah ataupun Perlis…” Ini adalah jelas bercanggah dengan apa yang dikatakan oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman sewaktu pembentukan Malaysia, bila mana dia berkata:
“Sabah dan Sarawak tidak akan menjadi negeri yang ke-13 atau ke-14 negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu (Malaya )kerana mereka bukan masuk sebagai rakan yang sama taraf (dengan Persekutuan TanahMelayu) dan mendapat kuasa dan status yang sama…”
Apabila Malaysia ditubuhkan pada September 1963, satu perjanjian yang dipanggil Perjanjian Malaysia telah ditandatangani, di antara Persekutuan Tanah Melayu (Malaya), Singapura, Sabah dan Sarawak – terikat dengan syarat-syarat perjanjian tersebut.
Syarat-syarat itu adalah seperti perikatan di antara mereka, jadi jika salah satu rakan akan “renege” atau undur diri ia akan memberi kesan kepada syarat-syarat untuk rakan-rakan yang lain dan memerlukan penilaian semula, dan perjanjian baru harus ditandatangani oleh rakan-rakan yang tinggal.
Singapura keluar dari Persekutuan pada 1965 dan ini sepaatutnya telah membatalkan Perjanjian Malaysia yang mana menjadi asas kepada Persekutuan Malaysia. Bagi saya, kecuali Persekutuan Tanah Melayu (Malaya), Sabah dan Sarawak berbincang bersama dan mengkaji semula untuk sahkan atau ubah Perjanjian Malaysia yang telah tidak sah, asas perundangan penubuhan Malaysia tidak lagi sah.
Mengapa kita tidak melakukannya? Kenapa mereka takut untuk membincangkannya? Sebaliknya pemimpin-pemimpin Persekutuan terutama Mahathir, menggunakan ancaman dan tangkapan untuk menghapuskan kita.
Inilah masalah yang kita hadapi sekarang. Maka itu saya sangat-sangat tertekan dan terkejut dengan tindakan-tindakan yang tidak adil, dimana Perdana Menteri negara kita membuat tuduhan-tuduhan yang liar dan tuduhan tidak benar terhadap saya, IDS dan Kerajaan Negeri Sabah dibawah PBS yang dipilih secara demoktratik.
Berdasarkan dari kenyataan-kenyataan akhbar yang dibuat oleh Mahathir dan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain semasa lawatan mereka ke Kota Kinabalu minggu lepas, rakyat Sabah dan dunia keseluruhannya melihat bahawa “kuasa adalah benar” .
Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin kebangsaan yang lain datang ke Sabah untuk memperlihatkan kuasa dan kekuatan mereka. Mereka datang untuk menunjukkan bahawa mereka mempunyai kuasa Persekutuan, polis dan tentera, serta orang-orang di Sabah yang sanggup mengutamakan cita-cita mereka untuk melaksanakan kehendak UMNO terhadap negeri ini dan rakyatnya.
Pemimpin-pemimpin tersebut bersedia untuk menutup mata mereka terhadap hak-hak sah Kerajaan Negeri Sabah di bawah PBS untuk memerintah dengan aman tanpa penindasan. Ini merupakan hari yang sedih untuk rakyat Sabah, Malaysia dan generasi akan datang.
Sekarang saya dapat memahami sepenuhnya dan bersimpati dengan mereka yang berada di dalam perhimpunan USNO yang mana secara terbuka tanpa malu-malu mengeluarkan air mata. Mereka ini bersetuju dengan kami yang cintakan negeri ini dan ingin mengekalkan hak-hak asasi kita.
Mereka betul-betul kecewa melihat pemimpin-pemimpin kita di Sabah yang bersedia untuk menyerahkan kuasa politik dan negeri kepada Mahathir. Mahathir telah membuat tuduhan yang serius terhadap saya. Dia berkata bahawa saya terlibat dengan komplot mengeluarkan Sabah dari Malaysia dan kononnya saya bercita-cita menjadi Presiden kepada negeri Sabah yang merdeka.
Tuduhan-tuduhan ini dibuat dengan tujuan untuk mendapatkan sorakan yang kuat dari wakil-wakil USNO dan para pemerhati. Apakah yang terjadi dengan hak-hak saya sebagai warganegara Malaysia?
Siapa yan memberikan hak kepada Perdana Menteri untuk menganiaya seseorang rakyat Malaysia di hadapan orang ramai dan TV serta melalui media massa ke seluruh dunia?
Adakah kedudukan Perdana Menteri kita ini melebihi kuasa undang-undang? Adakah undang-undang Malaysia hanya untuk mengenakan keluarga Kitingan sahaja, pemimpin-pemimpin PBS dan para pegawai negeri dan kepada sesiapa sahaja yang tidak menurut perintah Barisan Nasional?
Bagi saya, kelakuan seperti ini adalah yang paling keji dan tidak mempunyai tempat di Negara ini yang kononnya Negara yang berprinsipkan demokrasi. Saya telah pun berbincang dengan peguam saya, apakah tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap Perdana Menteri dan yang lain-lain yang telah menghina dan menuduh saya.
Sekiranya, saya terlibat dengan semua yang dikatakan tersebut, Perdana Menteri sepatutnya menggunakan kuasa undang-undang untuk menahan saya dan membawa saya ke muka pengadilan di mahkamah.
Kenapa dia membuat banyak kenyataan-kenyataan yang dramatic semasa berpolitik? Sekiranya ia adalah berkaitan dengan Keselamatan Negara, maka ia seharusnya diselesaikan menurut apa yang sepatutnya.
Kenapa dibangkitkan hanya sewaktu Kongres USNO berlangsung? Dan ia masih mengatakan bahawa semua tindakan ini tidak ada kena mengena dengan campur tangan politik. Ini adalah hipokrit. Kenapa Jeffrey Kitingan dihukum oleh Mahathir setiap kali adanya perhimpunan USNO?
Bagi saya, ianya adalah satu penganiayaan politik yang teruk dan kejam sekali. Kita di Malaysia tidaklah buta. Mereka dapat melihat sekarang bahawa kerajaan PBS adalah dibawah kuasa pusat melalui politik (UMNO), ancama fizikal (penambahan tentera), penahanan ISA, BPR dan tindakan-tindakan JHDN sehinggalah adanya orang-orang yang hanya menerima kehendak mereka tanpa mempertikaikan tindakan mereka.
Adakah suasana seperti ini yang diharapkan oleh pemimpin-pemimpin Sabah ketika mereka bersetuju membentuk Malaysia pada tahun 1963?
Tidak! Semestinya tidak. Kita tidak setuju untuk diperkecilkan seperti ini dan tidak bersetuju untuk dijajah oleh Kuala Lumpur atau sesiapa pun. Saya menyeru kepada Kerajaan Negeri di bawah PBS yang bertanggungjawab untuk mempertahankan hak-hak rakyat Sabah secara serius, untuk mempersoalkan tentang kedudukan Sabah di Malaysia bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan melalui saluran perundangan yang sah.
Apa gunanya menjadi Kerajaan Negeri apabila Ketua Menterinya dan pemimpin-pemimpinnya diketepikan dan tidak dipelawa untuk menyambut kedatangan Perdana Menteri yang datang ke Sabah?
Siapakah sebenarnya yang memperkenalkan sentimen anti-Malaysia dan terlibat dengan tindakan-tindakan anti-Malaysia? Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin UMNOlah yang terlibat.
Saya tidak akan tunduk kepada komplot ancaman Persekutuan terhadap saya dan kepentingan Negeri Sabah. Saya akan berdiri dengan apa yang saya telah katakan di dalam 20-PERKARA, hak-hak negeri, keperluan keadilan dan kesaksamaan layanan oleh kuasa Persekutuan kepada Sabah sepertimana yang terkandung di dalam kenyataan-kenyataan saya dahulu.
UNTUK SEMUA RAKYAT SABAH: JANGAN PUTUS ASA, JANGANLAH SEKALI-KALI PUTUS HARAPAN, KERANA TUHAN AKAN MENOLONG KEPADA SESIAPA SAHAJA YANG BERJUANG UNTUK KEBEBASAN DAN KEADILAN.
Kepada kakitangan kerajaan, kakitangan saya di YS, IDS dan ICSB –teruskan dan buatlah kerja anda semua dengan tenang, cekap dan dedikasi. Buatlah kerja kamu dengan sepenuh hati dan bertanggungjawab. Misi saya adalah untuk melihat kita hidup di dalam keamanan dan bebas dari penindasan, tekanan dan ketidakadilan.
Misi anda adalah membebaskan rakyat dari cengkaman kemiskinan dan kesakitan. Marilah bersama-sama membina satu negara yang progresif dari segi ekonomi, supaya kita semua boleh menjadi alat-alat TUHAN yang berkesan untuk melayani dan mencintai yang lain.
Kepada pelajar-pelajar, saya berseru kepada kamu untuk memberikan sepenuh perhatian kepada pelajaran kamu kerana kamulah pemimpin generasi akan datang. Gunakanlah masa dan fikiran kamu untuk memahami dan mencari kebenaran sejarah dan pembangunan kita.
Jagalah batas kendiri kamu dengan apa yang diajar di sekolah atau di kolej, kerana mereka hanya memberikan satu pandangan sahaja kepada cerita tersebut. Teruskan dan carilah kebenaran. Fahami tentang apa dia kehidupan dan apa dia kebebasan dan keadilan.
Baca 20-PERKARA dan buku “Sabah Commemorative Book – Sabah 25 Years Later” dan lain-lain.. Janganlah kamu mengambil keputusan selagi kamu belum tahu kebenarannya. Apabila kamu mengetahui kebenaran, kamu akan tahu apa yang hendak dibuat.
Kepada semua ibu bapa, kamu adalah juru kemudi di lautan yang bergelora. Bimbinglah anak-anak kamu menuju kebenaran dan ke destinasi hidup yang betul. Beri tahu mereka apa yang berlaku kepada negara kita supaya mereka boleh mencorakkan satu masa depan yang cerah. Disiplin perlu dipupuk tetapi selain daripada itu, kita juga perlu menanamkan sikap yang betul kepada anak-anak kita yang sentiasa belajar daripada ibu bapa.
Kepada suami-suami, hormati dan jagalah isteri-isteri anda semua. Isteri adalah sebahagian daripada diri kamu. Dia adalah rakan dan pasangan. Dia mengetahui banyak perkara dan dia boleh membantu kamu untuk mengetahui perbezaan apa yang benar dan palsu – antara keputusan yang baik dan tidak baik. Jangan abaikan isteri kamu.
Kepada isteri-isteri, cintailah suami-suami kamu dan jagalah mereka dengan baik. Dia adalah pasangan kamu, rakan dan penasihat. Dia juga adalah penegur bila mana kamu membuat kesilapan. Tetapi suami-suami kamu juga memerlukan bimbingan kamu untuk mencari kebenaran dan memahami situasi kita di Sabah.
Kepada rakyat di Semenanjung Malaysia, kamu adalah saudara-saudara kami. Kami memerlukan kamu untuk memahami keadaan kami di Sabah. Kami tidak membenci kamu seperti mana yang diberitahu oleh pemimpin-pemimpin kamu.
Pemimpin-pemimpin kamu hanya menanamkan bibit-bibit kebencian diantara kita semata-mata untuk kepentingan politik peribadi mereka. Kami ini ditindas, diganggu, dan dilayan dengan tidak adil. Kami ini dijajah dan dikawal, sehinggakan kami kehilangan kebebasan demokrasi dan juga maruah.
Kami telah diberitahu bahawa kami telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1963 tetapi kami kini tidak lagi mempunyai kuasa terhadap masa depan politik kami sendiri. Pemimpin-pemimpin dari Semenanjung Malaysialah yang melakukannya.
Tidak perlu bersimpati kepada perjuangan kami tetapi cubalah untuk memahami diri kami dan situasi yang kami hadapi. Hanya melalui ini, kamu dapat memberi sumbangan kepada kami. Dan dengan hanya begini sahajalah maka kamu akan mengetahui bagaimana pemimpin-pemimpin Kuala Lumpur membohongi rakyat di Semananjung Malaysia.
Kepada peniaga-peniaga dan pelabur-pelabur, kamulah yang sentiasa menggerakkan ekonomi, yang mana seterusnya membantu memberi nafkah kepada keluarga kami semua. Jangan hentikan pelaburan kamu. Bantulah supaya ekonomi kami berkembang, supaya tanah air ini menjadi makmur dan sesuai kepada perkembangan pelaburan-pelaburan. Bantulah supaya perjuangan rakyat Sabah berjaya. Jika rakyat Sabah berjaya, pastinya kamu pun akan turut berjaya.
Kepada pemimpin-pemimpin politik di Sabah, kamulah pemimpin-pemimpin sejati. Pimpinlah rakyat menuju destinasi mereka. Berjuanglah untuk kebebasan dan keadilan mereka. Bebaskan tanah air ini dari ketidak adilan. Berpegang teguhlah kepada prinsip-prinsip kamu. Jangan mudah tergoda untuk meninggalkan perjuangan kamu semata-mata untuk beberapa ringgit sahaja.
Jangan menganiayai rakyat kerana kepentingan peribadi, kekayaan dan kedudukan hanya untuk mengelak daripada musuh-musuh. Bezakanlah antara kepentingan-kepentingan peribadi dan kepentingan-kepentingan rakyat.
Kita semua akan meninggal dunia pada suatu hari nanti dan semua tindakan kita akan tercacat dalam sejarah. Berapa banyakkah kekayaan dan pangkat yang kamu boleh bawa mati? Adakah anak-anak kamu nanti akan bangga dengan kamu? Tanyalah diri sendiri – “Apa misi saya? Apakah yang saya perjuangkan? Adakah semata-mata untuk mendapatkan pangkat dan kedudukan-kedudukan lain, ataupun adakah untuk membebaskan tanah air ini dari penindasan penjajah dan ketidak adilan supaya kita semua boleh hidup dengan aman dan dapat menentukan masa depan sendiri?
Adakah saya berjuang untuk diri sendiri ataupun untuk rakyat saya?” Kamu adalah pemimpin. Jangan gadaikan tanah air dan rakyat kamu. Jika kamu keliru, cubalah bertenang, berfikir dan buat renungan. Tuhan akan membimbing kamu ke jalan yang benar. Jangan malu untuk memperbaiki kesilapan-kesilapan. Masa belum terlewat. Ingatlah bahawa kita semua adalah manusia biasa sahaja.
Sebagai pemimpin, pengikut-pengikut mahukan bimbingan, maklumat dan nasihat. Mereka menaruh harapan kepada kamu dan mereka menjangkakan kamu kuat. Apabila saja kamu tahu apa yang hendak dibuat, jangan menoleh ke belakang lagi. Kerana jika kamu begitu, kamu bukan lagi pemimpin. Jika Kuala Lumpur sudah mengawal kehidupan, dasar-dasar dan sumber-sumber kita, kehidupan kita di Sabah bukan lagi seperti sediakala.
Jadi, pesanan saya kepada kamu ialah BERSATUPADULAH, BERGANDING BAHU dan MEMIMPINLAH sebagaimana kamu diundi. Inilah tanah air kamu dan politik adalah darah daging kamu.
Kepada pemimpin-pemimpin lain di Kuala Lumpur, ada di antara kamu yang memahami kami. Kamu tahu bahawa beberapa rakan politik kamu bertindak keterlaluan, tidak adil dan bersikap kepenjajahan dalam tindakan dan semasa membuat keputusan-keputusan.
Kenapa kamu hanya berdiam diri dan membiarkan ketidakadilan itu dilakukan? Kamu mempunyai fikiran yang waras. Kenapa kamu tidak berusaha menyedarkan yang lain? Apa yang dibuat oleh Mahathir, Ghafar Baba, Mohamad Rahmat, Najib Razak dan Megat Junid di Sabah tidak boleh diterima.
Mereka mengancam, memenjarakan, menipu dan membohongi semua rakyat Malaysia. Adakah mereka sudah mabuk kuasa atau adakah mereka sudah gila?!
Kamu berada pada kedudukan yang baik untuk mempengaruhi mereka untuk mengembalikan mereka kepada cara pemikiran yang betul. Bagi kami di Sabah, kami terpaksa bertindak dan membalas. Kami telah terpaksa. Kami berharap kamu semua akan faham.
Kepada pegawai-pegawai dan kakitangan-kakitangan agensi-agensi penguatkuasa undang-undang, polis, askar, SPR dan sebagainya, kamu adalah penjaga rakyat. Saya menyeru supaya kamu melindungi rakyat yang tidak berdosa dan mereka yang memperjuangkan kebebasan. Jangan mematuhi arahan-arahan secara membabi buta.
Saya bukan satu ancaman kepada rakyat tetapi saya mungkin merupakan ancaman kepada Mahathir. Saya adalah suara rakyat dan saya juga adalah suara kamu. Jadikan lah diri kamu alat untuk mencapai keamanan dan menjadi pelindung rakyat, bukannya penindas. Pergi dan ambil tindakan ke atas penindas-penindas yang sebenar dan serahkan mereka kepada pengadilan rakyat.
Kepada kawan-kawan saya dan semua orang yang waras, kamu adalah harapan rakyat dan generasi kita. Ini bukanlah perjuangan saya seorang. Ini adalah perjuangan semua manusia yang berperikemanusiaan. Perjuangan untuk kebebasan daripada penindasan, ketidakadilan dan penjajahan adalah perjuangan hak asasi.
Adalah menjadi tugas saya untuk memikul beban ini ke arah destinasi bersama. Jika saya gagal, kamu mesti bersedia untuk meneruskan perjuangan ini.
Apabila kita berjaya sampai ke destinasi kita, semua faedah adalah milik kamu. Saya bukanlah mahu mencari kedudukan tetapi hanya mahu melihat kamu bebas, aman, gembira dan maju.
Masa telah sampai bagi rakyat untuk menentukan sendiri masa depan tanah air ini, supaya hasil kesemua sumbangan kerja, persaingan dan kerjasama dinikmati bersama tanpa mengira tempat asal dan kepercayaan masing-masing. Inilah destinasi kita. Marilah kita bergerak bersama ke arah itu.
Datuk Dr Jeffrey G. Kitingan
